.

Live TV Warta Rakyat

1 November 2013

Keputusan mahkamah Shah Alam sahkan Khalid Samad adalah pemfitnah


Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin telah membuat penghakiman kes yang melibatkan saman saya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad. Saman terhadap YB Khalid Samad tersebut berpunca daripada fitnah yang dilemparkan kepada saya kononnya saya menerima pembiayaan daripada Puncak Niaga, Syabas dan ahli2 korporat waktu melancarkan JATI dan program jelajah saya.

YB Khalid Samad seperti yang diketahui memang mempunyai sejarah tidak menyenangi saya samada sewaktu saya menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan menjawat jawatan EXCO ataupun selepas itu. Hampir setiap langkah yang saya ambil sebagai Pesuruhjaya dan ahli EXCO disanggah oleh YB Khalid Samad termasuk hal-hal yang berkaitan dengan perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah termasuk juga permasalahan yang melibatkan aqidah umat Islam.

Penghakiman yang dibuat kelmarin itu menjelas dan mengesahkan bahawa YB Khalid Samad yang merupakan seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat adalah seorang pendusta dan pemfitnah. Beliau sanggup melakukan perkara-perkara diluar lingkukangan adab dan tatasusila serta amalan Islami seperti yang dilakukan terhadap saya.

Bagi saya, pemimpin yang celupar, pendusta, pemfitnah, suka membuat tuduhan sembarangan dan berhati busuk tidak sepatutnya berada dalam barisan pimpinan sebuah parti yang mendukung perjuangan Islam. Kehadiran pemimpin seperti ini bukan sahaja mencemarkan imej PAS tetapi lebih teruk daripada itu mencemarkan Islam di mata masyarakat bukan Islam khasnya.

Di samping itu, seperti yang pernah saya umumkan, saya juga telah menyaman Naib Presiden PAS yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Mahfuz Omar yang menuduh saya menerima puluhan juta ringgit daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk mengindoktrinasi para belia supaya menyokong Barisan Naional dalan PRU ke 13 yang lalu. Saya difahamkan tidak lama lagi kes ini akan dibicarakan. Saya yakin berdasarkan fakta kes, Mahfuz Omar juga akan menerima nasib yang sama seperti Khalid Samad.

Sebagai mantan pimpinan tertinggi PAS, saya sedih melihat parti ini sebahagian besarnya masih terus ditunjangi oleh golongan parasit yang menghalalkan apa juga cara demi mencapai matlamat memperoleh kuasa. Mereka sanggup menuduh dan memfitnah walaupun tanpa asas yang kukuh semata-mata untuk menunjukkan betapa hebatnya mereka dalam persaingan mendapatkan pengaruh politik.

Seandainya barisan pimpinan seperti ini dikekalkan bagi saya PAS bukan jatuh merudum akibat musuh luaran sebaliknya kejatuhan PAS adalah kerana angkara pimpinan seperti ini.

Saya mengharapkan penghakiman yang dibuat kelmarin akan membuka mata perwakilan ahli dan penyokong parti PAS supaya menggunakan pemilihan Muktamar PAS ke 59 akan datang ini sebagai cara terbaik untuk mengembalikan semula PAS ke tampuk asalnya dengan terlebih dahulu menyahkan pimpinan parasit di dalam Parti Islam itu.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
TTDI, Kuala Lumpur
1 NOVEMBER 2013

0 comments:

Post a Comment

Penulis tidak akan bertanggungjawab keatas komen yang menyalahi undang-undang.Ada komen,anda tanggung!Sebarang pertanyaan atau maklumat bolehlah menghubungi penulis di braderjai@gmail.com

RANDOM