Suasana di tingkat 17 bangunan Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya agak ceria petang Isnin ketika team wartawan Agendadaily tiba untuk sesi temubual dengan Khairy Jamaluddin.
Kebetulan waktu itu sebilangan pemimpin Pemuda UMNO datang mengunjungi Menteri Belia dan Sukan itu.Ada juga beberapa orang dari kawasan parlimen beliau di Rembau datang nak jumpa pegawai khasnya.
Santai saja.Tidak terasa suasana protokol di situ.Para pegawai di pejabat menteri itu datang bertegur sapa.
Kami menunggu sekitar 40 minit untuk bertemu Khairy.Setelah jumpa pemimpin Pemuda UMNO beliau terpaksa membereskan beberapa urusan penting.
Melangkah ke ruang utama pejabatnya yang agak simple antara yang jelas kelihatan gambar besar beliau dengan memakai baju colerang dan anak lelakinya Jibreil Ali memberikan tabik hormat.
Juga gambar Khairy bersama tokoh pembebasan Myanmar Aung San Syu Kyi.Ada juga dengan bekas Presiden Amerika Bill Clinton dan beberapa pemimpin dunia lain.
Di satu sudut khas, diframe dengan kemas, wajah isterinya, Nori Abdullah, anak bungsu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Walau dikenal sebagai pemimpin moden dari segi pembawakannya, namun dekorasi pejabatnya kontras, ada campuran antara hiasan tradisional dan perabot moden.
Dua tiga arca kayu di sofa utama selain serangkaian tombok yang menurut Khairy, cukup lama, bersusun cantik di tepi tingkap.
Fokus temubual dengan Agendadaily tentulah mengenai pemilihan UMNO.
Ahli Parlimen Rembau ini yang akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjawab satu persatu soalan dengan bersahaja.Ada yang serius dan ada yang diselit dengan gurau senda.
Ahli Parlimen Rembau ini yang akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjawab satu persatu soalan dengan bersahaja.Ada yang serius dan ada yang diselit dengan gurau senda.
Berbeza dengan pemilihan sengit tahun 2009 dimana beliau terpaksa berentap dengan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Khir Toyo,kali ini Khairy berdepan dengan empat calon 'lightweight'.
Mereka ialah Syed Rosli Syed Harman,Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.
Ketiadaan nama besar yang mahu mencabar kedudukannya dikatakan sudah cukup untuk memberi gambaran jelas kepimpinannya dalam pergerakan itu diiktiraf.
Apapun atas nama demokrasi dan sistem pemilihan yang terbuka kali ini Khairy juga terpaksa lalui cabaran.
50 minit berlalu begitu sahaja. Dalam jawapan-jawapannya tidak berselindung.Beliau bercakap terus-terang dan tiadapun off record. Semua yang mahu diperkatakannya, diperjelaskan dengan terang, satu persatu. Orang kata straight forward saja.
Ikuti transkrip temubual Agendadaily bersama Khairy:
YB boleh kita mulakan temubual dengan ulasan YB berkaitan pemilihan UMNO kali ini.Selepas lebih dua minggu berkempen, macam mana YB rasa...?
Secara keseluruhannya saya lihat berjalan lancar, dengan hari ini saya baca kenyataan Lembaga Dislpin parti yang melonggarkan syarat-syarat kempen.Ini saya alu-alukan. Sebab banyak sangat rungutan daripada 'bawah' yang mengatakan syarat-syarat terlalu ketat.
Perkembangan terbaru ini saya fikir bagus.Ia memberi peluang sama rata untuk semua calon.
Untuk jawatan Ketua Pemuda, saya sudah ambil kesempatan untuk turun hampir setiap negeri, bertemu Pemuda-Pemuda di sana bagi meminta sokongan daripada mereka untuk saya melanjutkan tempoh sebagai Ketua Pemuda dalam penggal akan datang.
Alhamdulilah setakat ini maklum balas baik sekali, tetapi saya tidak ambil mudah cabaran yang datang dari pesaing saya...dan saya akan terus berkempen sehingga 12 Oktober ini.
Kenapa kesinambungan itu penting, YB sudah memimpin satu penggal dengan jayanya, kenapa perlu lanjut tempoh lagi?
Kita hendak teruskan usaha untuk memenangi sokongan daripada generasi muda, terutamanya pengundi muda Melayu. Rating kita masa pilihanraya umum lepas 54 peratus sokong kita.Ini survey yang dibuat oleh Merdeka Centre. Ia satu percapaian yang baik, tapi kita kalah pengundi muda bukan Melayu...ini kita perlu bantu rakan-rakan komponen kita untuk bangun semula.
Yang kedua soal kesinambungan ini adalah kita ada ramai ketua-ketua pemuda cawangan dan bahagian yang baru, yang memerlukan latihan dan motivasi supaya Pemuda di peringkat akar umbi dapat kita hidupkan dengan lebih hebat lagi.
Sebab tugas mereka penting untuk memenangi hati pengundi muda dalam PRU akan datang. Justeru saya percaya di peringkat Pemuda Pusat mesti ada kesinambungan, sebab soal nak sediakan pelapis...saya masih lagi tak dapat nak sediakan seramai mungkin.
Kalau kita lihat pembangkang, mereka ramai YB-YB mereka orang muda.Dalam UMNO ada, tapi tidak cukup. Pada PRU lepas kita dapatlah dua tiga orang muda yang masuk Parlimen.
Reezal Merican dari Kepala Batas, Anuar Manap dari Sekijang, Irmohizam dari Kuala Selangor, tapi saya hendak lebih ramai lagi.Jadi amat penting untuk kita ada kesinambungan dan saya menawarkan diri saya sebagai orang yang ada pengalaman dalam Pergerakan Pemuda.
Saya dah pegang Exco satu penggal, Naib Ketua satu penggal dan jika saya menang ini, Insyallah, penggal kedua saya sebagai Ketua Pemuda.Saya rasa saya sudah melalui segala-galanya dalam Pemuda.
Empat tahun yang lepas saya bawa Pemuda dalam keadaan yang begitu susah sekali, tanpa jawatan ( kabinet) selepas tsunama (politik) 2008.Walaupun begitu kita berjaya juga bawa Pemuda ke satu tahap yang baik dan kita nak buat lebih baik lagi.
Saya merayu kepada mereka berilah peluang kepada saya, lagipun saya ada pengalaman, dan calon-calon yang bertanding melawan saya, saya hormati keberanian mereka tetapi majoriti daripada mereka tidak pernah pegang jawatan di bahagianpun.
Bukan saya hendak perkecilkan pengalaman mereka, tapi dalam politik ini mestilah ada pengalaman bawa institusi yang besar. Daripada empat pencabar saya, seorang saja pernah jadi Ketua Pemuda Bahagian, yang lain semua diperingkat cawangan.
(Cabaran) Cawangan dan peringkat Pusat bagai langit dengan bumi. Bukan saya kata saya yang terbaik, tapi saya ada pengalaman untuk jaga pemuda di peringkat kebangsaan.
Bercakap soal nak sediakan pelapis, berdasarkan rekod, dari 191 bahagian UMNO, hanya ada kurang dari 10 orang Ketua Pemuda Bahagian yang menawarkan diri untuk bertanding Exco, macam wujud jurang, kenapa mereka ini tidak dapat menawarkan diri ke peringkat yang lebih tinggi...?
Sebab kita dapati bahawa lebih 70 peratus Ketua Pemuda Bahagian sudah habis umur, jadi dia tidak boleh pergi ke Exco Pusat. Tidak layak dari segi umur. Perkara ini kita dapat atasi hanya dengan kita meremajakan lagi kepimpinan Pemuda di peringkat bahagian.
Maksudnya bila dia jadi Ketua Pemuda Bahagian itu dia bukan penggal terakhirlah, Mungkin dia 34, 35, mungkin lebih muda lagi. Supaya dia ada dua tiga penggal lagi.Jjadi dia boleh bermula dapat pengalaman di peringkat bahagian dulu kemudian ke peringkat lebih tinggi.
Ini persoalan yang dari dulu dibangkitkan, soal justifikasi Ketua Pemuda pegang jawatan dalam kerajaan (menteri) . YB sendiri ada pengalaman dulu pegang jawatan Ketua Pemuda tanpa jawatan kerajaan, macam mana YB lihat perkara ini...?
Ini bergantung kepada individu itu sendiri, jika individu itu boleh bawa Pemuda tanpa jawatan, macam saya bawa empat tahun tanpa jawatan, tidak ada masalah. Pemuda masih bersatu, kita dapat menjalankan banyak program dan orientasi Pemuda itu sengaja saya ubah, dari kumpulan pendesak, kepada kumpulan yang lebih kepada penyelesaian.
Tetapi dengan adanya jawatan kerajaan, ia memberi kekuatan kepada Pemuda, dan apabila tiba masanya untuk kita cakap, saya tidak kisah ada jawatan ke tidak. Contohnya berkenaan soal nak senarai hitamkan peminjam PTPTN, saya sebagai Ketua Pemuda saya cakap tidak boleh, saya cakap di luar dan saya cakap dalam Kabinet juga.
Bagi saya tidak ada masalah. Jadi Pemuda UMNO ini dalam kerajaan pun boleh, luar kerajaan pun boleh. Tapi pada saya lebih berkesan di dalam kerajaan kerana kita boleh bersuara di meja rundingan utama negara, iaitu Kabinet.
Kenapa ada cakap-cakap Pemuda di peringkat akar umbi kurang mempunyai daya saing untuk menawarkan diri bertanding di peringkat Ketua Pemuda (bahagian)?
Saya melihat keadaaan sebaliknya, saya melihat banyak bahagian yang mana ramai bertanding, ada sampai empat lima penjuru, tidak ramai yang menang tanpa bertanding apa-apa juga jawatan dalam Pemuda di semua peringkat.
Di peringkat Exco ada 75 calon yang menawarkan diri. Bagi saya ini petanda yang baik. Ada yang kata ooo UMNO berebut jawatan, tapi bagi saya, UMNO dan Pemuda ini relevan, ramai yang hendak pegang jawatan.Bayangkan jika orang tak mahu terlibat lagi dengan pertandingan, itu petanda yang buruk bagi kita.
Ada satu lagi persoalannya apabila terlalu ramai ahli biasa yang bertanding jawatan utama, bagaimana jika mereka menang tanpa ada akar umbi yang kuat.Mampukah mereka meningkatkan kualiti Ketua Pemuda Bahagian dan juga di peringkat Pusat?
Itu yang saya risau tu, sebab kita buat sistem pemilihan yang terbuka ini, jika orang yang bertanding itu tidak ada pengalaman, dan menang, bukan saya kata tak bagus, tetapi kita kena akui mereka perlu dibantu, agar dapat bawa Pemuda Bahagian.
Kalau tidak pernah melalui bahagian dan tiba-tiba jadi ketua, dia tidak tahu hujung pangkal, macam mana hendak kendalikan mesyuarat, macam mana hendak jaga jentera.
(Contohnya) Saya risau sebab selepas pemilihan parti ini, kita ada pilihanraya kecil di Kedah.Bayangkanlah untuk jawatan saya, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, pilih orang yang tidak pernah bawa bahagian pun, tiba-tiba kena jaga jentera Pemuda UMNO Malaysia. Ini perkara yang serius.
Selepas itu kita kena buat Perhimpunan Agung UMNO Malaysia, jika tidak pernah anjurkan, bukan senang nak jaga floor ni. Macam-macam perangai kat floor ( masa perhimpunan) ni, jadi benda macam ini boleh menjejaskan institusi.
Tapi untuk peringkat bahagian, jika sekiranya ada antara yang tiba-tiba menang, yelah dah rezeki mereka, saya kena cepat-cepat buat program latihan dan kursus kepimpinan. Benda ini satu keutamaan pada saya.
Apakah YB lihat pemilihan UMNO kali ini 'try and error' atau bagaimana, sebab ada banyak perkara yang kita tidak jangka berlaku ( misalnya ramai persoalkan peraturan kempen terlalu ketat dan sebagainya) ...?
Saya ingat 'try and error', sebab ini kali pertama kita buat macam ini dan kita tidak akan balik kepada sistem lama iaitu (hanya) perwakilan pusat (mengundi) . Cuma mungkin kita 'fine tune' sikit dari segi kelayakkan bertanding dan syarat-syarat.
Sistem yang baru ini beri kelebihan pada penyandang, apa komen YB...?
Sistem yang lama pun beri kelebihan pada penyandang, kalau sistem lama untuk jawatan saya, kena dapat 58 pencalonan bahagian.Sistem yang ada kini siapa saja dari cawangan, ada penyokong, pencadang, isi borang boleh bertanding.
Sistem lama sebenarnya banyak membantu penyandang.Sistem baru ini hanya dari segi publisiti memihak kepada penyandang, tapi dalam mana-mana sistem pun secara semulajadinya akan memihak kepada penyandang.
YB, macam mana dengan ada dakwaan mengatakan kepimpinan Pemuda di era YB jadi ketua gagal mengumpulkan kekuatan generasi muda luar bandar terhadap UMNO berbanding di bandar?
Macam mana gagal, jika gagal kita tidak dapat 54 peratus (pengundi muda sokong BN masa PRU13 ).Itu bukan kita buat kajian, orang lain buat. Pengikut saya di facebook dan twitter memang ada dari bandar, tapi kebanyakkannya di luar bandar.
Dengan adanya kementerian ini pun saya banyak beri tumpuan di luar bandar, contoh dulu kita buat Hari Belia di Putrajaya, sekarang ini saya kata kita buat di seluruh negara, supaya orang luar bandar juga turut merasai, sebab inilah yang bagi sokongan pada kita.
Di Rembau, separuh bandar separuh luar bandar, saya menang dua-dua, peningkatan majoriti tiga kali ganda (banding PRU12).
Saya rasa dakwaan itu tidak betul, mungkin ia berpunca dari pendekatan saya yang moden, progresif... ada yang kata liberal.
Berkaitan liberal, ada kritikan terhadap YB, bawa kurang bawa Agenda Melayu dalam program, apa komen YB?
Agenda Melayu saya dari segi hasil bukan retorik. Saya mementingkan keputusan. Agenda Melayu saya dari segi pengisian kepada peluang pekerjaan, perumahan, gaji minimun, dari segi kita bantu mereka yang muflis. Itulah pengisian Agenda Melayu. Saya fokus kepada hasil. Kalau nak cakap saya liberal, cakaplah, tapi bagi saya nasib orang Melayu tidak tergadai semasa saya jadi Ketua Pemuda malah lebih kuat lagi.
Sabtu lalu ada dakwaan dari pesaing kata YB salah guna jentera kementerian untuk berkempen, apa respon YB?
Dia ini tak ada modal, itu jadi modal, kalau hendak bertanding, cakaplah tentang visi dan misi, tapi calon yang buat tuduhan tersebut modal dia adalah untuk memburukkan saya. Hari pertama dia dia hantar borang jadi calon, dia panggil saya 'bangla' sebab saya lahir dan dibesarkan di luar negara.
Saya tidak pilih siapa yang jadi bapak saya. Itu bukan pilihan saya, dia memang bapak saya yang kebetulan pegawai di Wisma Putra dan bertugas di luar negara. Tapi dia kata saya 'bangla' macam pendatang asing. Semalam dia buat tuduhan saya menyalah gunakan jentera kerajaan.
Saya jumpa orang muda setiap minggu, dan program yang kita buat semua, yang dia ni tidak faham adalah ramai dikalangan aktivis belia, kebetulan juga ahli UMNO. Sebab (NGO) belia dan Pemuda UMNO itu tidak boleh dipisahkan. 4B, GPMS semua orang UMNO. Tak akan saya nak kata kamu tak boleh datang sebab ini program kementerian.
Saya bercakap mengenai isu semasa, soal kementerian, tapi ramai yang tanya soal kementerian, kena jawablah. Kebetulan ada calon-calon Exco yang datang, sebab dia tahu ramai perwakilan, MC (pengerusi majlis) umum ya ini calon sekian-sekian... semua dibuat dalam suasana ceria, bukan nak sorok-sorok.
Kalau nak berkempen pun, carilah isu lain, kita tak kacau dia pun.
Mungkin YB nak ulas mengenai Irwan Ambak Khalid Izhar (calon Ketua Pemuda) ini, difahamkan beliau ada pertalian saudara dengan YB...?
Dia sepupu isteri saya, bapak dia dengan arwah ibu isteri saya adalah adik beradik kandung. Tiga bulan yang lepas, dia ada hantar email pada saya, beritahu hasrat hendak bertanding Ketua Pemuda, dia baru saja menang Ketua Pemuda Cawangan tiba-tiba hendak lawan Ketua Pemuda Malaysia.
Hendak kata saya rapat dengan dia, tidaklah sangat, tapi kita ada jumpa dalam majlis-majlis keluarga. Bila dia hantar email pada saya, saya pun tak tahu macam mana hendak respon, saya hantar (FWD) email pada isteri saya dan kata ini sepupu awak... dah buat kerja gila ni... (ketawa).
Pendirian saya, ini parti demokrasi, saya tak mahu pujuk dia, kalau nak lawan-lawanlah... saya beritahu Irwan, ini jawatan Ketua Pemuda Nasional, bebannya besar, saya tak mahu awak tersalah langkah, tapi dia kata hendak juga, saya kata tak apalah...
Untuk orang kata saya sengaja letak dia di situ untuk pecahkan undi... tak betul, tak perlu saya buat kerja begitu (ketawa).
Macam mana YB tengok pemilihan kali ini berbanding pemilihan yang dulu ketika lawan Datuk Seri Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir?
Ya, bukan saya take for granted (cabaran kali ini) bahkan saya beritahu anak buah saya, mana-mana cabaranpun perlu dipandang serius. Tapi kalau nak banding dengan 2009 jauh bezalah. 2009 itu sengit sekali. Saya rasa kali ini tidak sesengit dulu.
Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda (NKP), antara Azwan, Jamawi, Lokman, Iruan ada kekuatan masing-masing, sayang sungguh perwakilan hanya perlu memilih seorang dari mereka, bagi YB sendiri, NKP yang macam mana YB idam-idamkan?.
Saya nak seorang yang boleh melengkapi saya, dia memahami visi saya dan boleh mengalas tanggungjawab bersama. Saya walaupun sudah jadi menteri tidak akan kurangkan aktiviti Pemuda saya. Saya memerlukan seorang Naib yang boleh berkongsi tanggungjawab dengan saya.
Dan saya lihat keempat-empat ini ada ciri-ciri yang saya mahukan itu, semua saya kenal. Mereka berpengalaman, tiga dari mereka adalah Exco Pemuda dan seorang Ketua Pemuda Negeri. Saya memahami mereka, mereka memahami saya, saya tidak ada masalah dengan keempat-empat mereka.
Semua ada kekuatan masing-masing. Contohnya Iruan adalah seorang aktivis akar umbi, dia dalam mesyuarat exco selalu bangkitkan soal akar umbi, dan style saya dalam mesyuarat saya bagi semua cakap, dan dia memang bawa suara dari akar umbi.
Lokman dia punya kelebihan adalah dari segi penghujahan, dia berani ke depan.
Jamawi dia adalah aspirasi pemuda dari luar bandar, dia memahami sebab dia datang dari Sabah, dia memahami soal pembangunan, peluang pekerjaan, bangunkan Pemuda.
Azwan Bro profesional, dia memahami soal pelajar-pelajar unibersiti, profesional di bandar. Kemepat-empat ini ada kekuatan masing-masing.
Memang betul, saya rasa amat rugi sebab kita akan kehilangan tiga daripada empat ini... melainkan saya lantiklah kemudian.... tengok macam mana... hahaha.
Tadi YB kata mahu kumpulan pelaksana, jadi antara empat-empat ini mana satu yang boleh melaksana...?
Keempat-empat boleh... tapi kita perlukan juga kumpulan pendesak, bukan saya kata kita tak perlu kumpulan pendesak, saya kata kita perlu jadi lebih sekadar kumpulan pendesak.
Mungkin hari ini sebagai menteri susah saya hendak panjat pagar kedutaan, mungkin kita perlukan naib yang saya boleh call dan kata "pagi ni you pergi panjat kejap pagar kedutaan itu..." dan kemudian yang boleh juga laksanakan kanival kerjaya kita. Kena ada orang yang boleh buat dua-dua itu.
YB kita beralih kepada Majlis Tertinggi UMNO, apakah empat calon yang ditonjolkan Pemuda, calon terbaik yang boleh mewakili suara orang muda (jika menang kerusi MT) ?
Dulu kita endorse satu saja, tapi kerana kini kita dalam proses peremajaan parti, kita endorse empat. Kita yakin kita menyahut suara akar umbi yang mahu meremajakan parti. Kita beri keutamaan kepada yang kanan dalam parti dan wakil rakyat, DRI dan RM (Datuk Razali Ibrahim) dan RM (Datuk Seri Reezal Merican), dua-dua wakil rakyat. Dua-dua memahami jiwa Pemuda dan sudah sampai tahap mereka gradute dari Pemuda ke alam dewasa.
Yang ketiga Sohaimi (Shahadan). Saya nampak dia banyak bawa isu ekonomi, termasuk isu kemuflisan yang kita pinda untuk bantu orang Melayu ini, ideanya daripada dia dan saya. Dia memang memahami isu agenda ekonomi orang Melayu sebab itu kita ketengahkan dia.
Tun Faisal sebab dia ada pengalaman dalam media baru, sekurang-kurangnya dia boleh beri in-put dalam perang kita di dunia siber. Kita ada sebab yang kukuh untuk ketengahkan keempat-empat mereka ke dalam MT. Masing-masing ada kekuatan dan saya harap MT akan beri sokongan kepada calon Pemuda ini atas semangat nak remajakan UMNO.
Mungkin tiga calon yang YB sebut tadi umum tahu, bila sebut soal Tun Faisal ada gosip-gosip yang kata ia kerana hubungan beliau dengan Datuk Seri Hishamuddin dan YB pun rapat DS Hiham dan kerana itu Tun Faisal dinamakan sebagai calon MT?
Tak juga, tak ada kena mengena dengan Datuk Seri Hishamuddin. Saya praktis open dalam mesyuarat exco, masa kita hendak endorse calon Pemuda untuk MT itu hanya tiga orang, Razali, Reezal dan Sohaimi, tapi saya kata kalau ada sesiapa yang lain yang hendak dipertimbangkan percalonannya oleh exco, sebelum kita endorse, sila cakap, dan dia (Tun Faisal) sendiri angkat tangan dan kata nak pergi.
Kita bincang dan semua setuju atas sebab dia ada pengalaman dalam dunia media baru ini. Jadi ini adalah endorsement dari seluruh Pemuda bukan saya sendiri.
Kalau kita boleh anjak ke depan sikit, ramai yang cakap untuk pusingan akan datang akan jadi pertembungan YB dan Datuk Mukhriz (kalau dia menang)... macam mana YB lihat ini?
Bagi saya, saya tidak simpan perasaan sedih atau tidak puas hati dari pemilihan yang lepas. Kita ini satu pasukan, kita perlukan semua orang dalam UMNO. Kalau kita sesama kita dah cuba menjatuhkan antara satu sama lain, yang rugi UMNO.
Soal pencalonan beliau, itu adalah keputusan peribadi beliau dan kita nilailah berdasarkan apakah misi dan agenda yang beliau hendka bawa. Tanpa berbelit-belit, untuk jawab soalan itu, saya tidak fikir tentang pemilihan akan datang.Bagi saya sekarang dan PRU14. Itu yang penting.
Ada yang kata Datuk Mukhriz terlalu awal untuk tawar diri tanding Naib Presiden... apa komen YB...?
Ini soalan nak pancing ni, kalau saya satu hari baru masuk politik bolehlah... (ketawa) ada yang cakap begitu, ada yang cakap kita perlu ambik kesempatan apabila masa mengizinkan. 'Pukul bila ada peluang'. Ada yang kata ambik masa, jadi terpulang pada perwakilan untuk buat pilihan.
Ada yang kata Datuk Mukhriz kena pergi (tanding) dulu sebelum KJ pergi (tanding jawatan itu)... macam mana tu?
Macam saya kata tadi, saya tak mahu 'layan' soalan begitu, sebab ia berbentuk andaian empat tahun akan datang, dan saya tidak mahu jawab berdasarkan andaian. Kita perlukan semua orang dalam UMNO sekarang ini.
Dari senarai 75 yang tawar diri bertanding Exco Pemuda, kita lihat ada kepelbagaian latar belakang, ada ustaz, artis, ahli perniagaan, pegawai khas, cikgu, bagaimana YB lihat fenomena ini?
Kita perlu pada kepelbagaian, bila saya berucap, saya tidak sebut nama, saya sebut kita perlu orang agama, supaya boleh jawab perkara-perkara berkaitan agama, kita perlu juga golongan profesional, berpendidikan tinggi, supaya boleh masuk ke universiti, berdialog guna bahasa-bahasa yang difahami oleh golongan profesional.
Dalam masa yang sama kita perlu aktivis masyarakat, yang tahu lapangan, saya tak letak syarat semua mesti ada ijazah, kita perlukan orang yang ada 'touch' dengan orang kampung, makcik-makcik, itu kadang-kadang yang profesional tidak ada 'touch' itu.
YB ada pengalaman kerja dengan ketiga-tiga Naib Presiden sekarang ini, macam mana YB melihat keserasian mereka?
Saya lihat istilahnya sekarang ini adalah 'keserasian' bukan pakatan. Memang saya boleh sahkan keserasian mereka bertiga ini. Saya melihat dari dekat sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan, sebagai ahli Biro Politik, ahli MT yang terlibat secara langsung dengan keputusan peringkat tertinggi parti sejak empat tahun lepas, saya lihat mereka mempunyai keserasian yang tinggi. Dan saya juga rasa perkara ini memberi keselesaan kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Bukan saya kata ada endorsement atau ada pakatan, cuma saya lihat Presiden dan Timbalan Presiden selesa dengan tiga Naib Presiden yang sedia ada.
Boleh beri pandangan YB mengenai Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Hisham dan Datuk Seri Shafie...?
Datuk Seri Zahid adalah seorang pemimpin yang tegas, datang dari kilang pemuda, seorang pemimpin yang dapat melaksanakan tugas dengan cepat dan tegas. Amat diperlukan dalam kepimpinan parti.
Datuk Seri Hishamuddin bagi saya mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang diperlukan, seorang yang jujur, ikhlas dan berpandangan jauh. Dia mungkin sebab pegang jawatan Menteri KDN dalam keadaan yang mencabar sekali maka ada banyak persepsi. Bagi saya beliau telah mengimbangi antara keperluan rakyat dan ketegasan seorang Menteri KDN. Beliau pada saya seorang yang wajar kita berikan tempat...
Beliaulah Naib Presiden yang bertanggungjawab terhadap pindaan perlembagaan, kalau nak cakap soal kebebasan dan pemerkasaan demokrasi dalam UMNO, dialah yang buat benda itu, tapi... dia buat dalam keadaan di mana dia sendiri tahu mungkin kedudukan dia sendiri akan tercabar, tapi dia sanggup buat demi kebaikan parti, jadi saya rasa itu satu pengorbanan yang perlu kita ikftiraf.
Datuk Seri Shafie pula sentiasa on the ground sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau banyak bawa pembangunan ke luar bandar dan sedikit sebanyak kemenangan kita di luar bandar kerana kekuatan beliau. Bagi saya bila tengok gandingan tiga orang ini, gandingan yang baik.
Sentuh pasal PRU13 dikatakan ibu segala pilihanraya, menjelang PRU14 disebut sebagai bapak segala pilihanraya... ramai yang kata kehangatannya akan tetap sama menjelang PRU14, macam tiada akhirnya... apa komen YB?
Saya yakin kehangatannya sama, cuma kita diberikan satu peluang keemasan empat tahun lebih akan datang, untuk kita buktikan pada rakyat, kitalah pilihan terbaik mereka. Bagi saya PRU13 adalah cukup penting, turning point, di mana kalau kita kalah habislah.
Tetapi rakyat masih bagi kita peluang, jadi kita tidak boleh sia-siakan rakyat. Kalau kita dapat laksanakan semua yang kita janji dalam manifesto, saya rasa kita akan dapat sokongan yang bertambah dalam PRU14.
Lima tahun akan datang (Datuk Seri) Anwar tidak sehebat hari ini, dia semakin berumur, sekarang ni nampakpun dia sudah meroyan sana-sini, dia bukan force lagi. Tapi kita ingat di bawah Anwar banyak lagi orang muda, anak dia (Nurul Izzah), Tony Pua, Rafizi, Chin Tong, DAP orang muda dapat undi paling tinggi. PRU akan datang adalah post Anwar... pasca Anwar.
Kedua selain kita melaksanakan semua janji kita, kita kena serius dalam isu ketirisan dan penyelewengan macam yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara. Saya tengok rakyat memang marah, orang UMNO pun marah, ini kita kena serius.
Saya pertahankan bila kita umum nak kurangkan subsidi, tapi bayangkan tiga minggu lepas itu keluar Laporan Audit Negara yang kita beli jam hargam RM3000, kasut kastam tak boleh guna, orang marah. Bagi kami dalam Pemuda, kita kena bersuara soal penyelewengan ini.
Kalau kita tengok soal pengundi ini, berkenaan daftar pemilih, kita kurang mendaftar macam pembangkang buat... YB setuju ke?
Kita lebih, kalau kita lihat statistik, UMNO paling banyak daftar pengundi...lepas tu DAP, PAS, PKR, baru MCA dan MIC.
Kita menang Melayu, tapi kita kalah bukan Melayu. Kawasan Melayu memang kita memang, cuma gambaran keseluruhan nampak macam kita kalah kerana kawasan-kawasan bandar.
Di kawasan bandar, luar bandar Melayu, kita menang 53 peratus pengundi muda, tapi bila masuk bandar, pembangkang menang sampai 70 peratus.
Untuk PRU akan datang kita cadangkan kerajaan jadikan pendaftaran pengundi secara automatik, umur 21 saja layak mengundi. Tak perlu buat kerja dua kali. Perkara tersebut sedang diperhalusi dan memerlukan pindaan pada perundangan.
Bagaimana YB menggunakan media sosial untuk tarik sokongan... YB antara yang paling ke depan dikalangan pemimpin muda berinteraksi dengan orang ramai menggunakan Facebook dan twitter... ulas sikit...?
Media sosial merupakan medium orang muda hari ini. Bukan bermakna media tradisi tak laku, tapi saluran paling popular media tradisi sekarang ini adalah media sosial.
Sebagai pemimpin dalam UMNO kita kena ada kekuatan dalam media sosial, ia akan membantu, macam saya ada ratusan ribu pengikut di facebook dan twitter, ia bukan untuk saya saja, tapi UMNO dan BN, sebab saya mewakili UMNO dan BN.
Tengok pembangkang masa PRU13 dulu, FB dan twitter kita dah okay, kita kalah mengenai youtube, video mereka lebih banyak, interaktif, dari kita. Ini yang kita kena buat sesuatu.
YB ulas sikit mengenai Ahli Parlimen BN... kita lihat dulu YB antara ahli BN backbencher ( yang ligat berbahas).Sekarang ada ahli baru, dua sesi sidang Parlimen ( selepas PRU13) ini macam mana keadaannya?
Saya lihat beberapa orang boleh jadi perisai kepada kerajaan, Antaranya Reezal, Azeez (Rahim) Baling, Aziz Sheikh Fadzir, telah mula ambil alih peranan kami di BNBBC ( backbencher) dulu. Kita juga ada orang lama, saya teruja lagi, saya tengok Tan Sri Annuar Musa bagus. Dia macam Tan Sri Shahrir Samad juga, mereka tiada ego, walaupun mereka bekas menteri.
Bila mereka bercakap sebagai bekas menteri, tak ada orang yang nak menyampuk...
Saya kecewa sikit dengan pembangkang, ingat mereka makin hebat, tapi tak lah sangat, Tony, Rafizi, dia lagi hebat masa dulu, masa dia buat sidang akhbar di lobi parlimen ...masuk dewan jadi mandul sikit.
( Rafizi) ini masalah bila orang masuk gelanggang sebenar, dia mula kecut.
Soalan akhir YB, jika dipilih semula jadi Ketua Pemuda, dan mungkin ini penggal terakhir, apa yang YB nak capai dalam penggal ini...?
Saya tak boleh meramalkan masa depan, tapi untuk empat tahun akan datang, saya hendak meninggalkan Pemuda dalam keadaan lebih baik dari apa yang kita ada hari ini. Kita dah berjaya fasa pertama. Fasa kedua ini untuk menyediakan pelapis, untuk kita latih kader-kader parti yang baru.
Tugas penggal kedua ini, bukan hanya mendamping pengundi macam yang kita buat penggal pertama, tetapi juga dalaman, iaitu meninggalkan pemuda yang ada motivasi, yang rajin, yang bersuara yang bersedia untuk mewarisi perjuangan ini.-8/10/2013- OLEH WARTAWAN AGENDADAILY
No comments:
Post a Comment
Penulis tidak akan bertanggungjawab keatas komen yang menyalahi undang-undang.Ada komen,anda tanggung!Sebarang pertanyaan atau maklumat bolehlah menghubungi penulis di braderjai@gmail.com