.

Live TV Warta Rakyat

23 December 2012

SMS terakhir untuk adik

Nor Fazira Athirah (kiri) ditemani seorang saudara di Unit Forensik, HSNZ Kuala Terengganu, semalam


KUALA TERENGGANU – “Saya tidak sangka khidmat pesanan ringkas (SMS) permohonan maaf yang dihantar abang malam sebelum kemalangan menjadi petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga.”

Itu luahan adik mangsa kemalangan maut, Nor Fazira Athirah Mohd Nor, 17.

Abangnya, Allahyarham M Fazrol Amirul, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan, melibatkan tiga kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nenas, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman, manakala pemandu Proton Iswara dan pemandu Proton Waja yang turut terlibat dalam insiden itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, M Fazrol dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Raja, Tepoh, selepas bermalam di rumah ibu saudaranya di Kampung Bukit Berangan, di sini.

Mengulas lanjut, Nor Fazira berkata, dia terkejut apabila menerima SMS ‘maafkan abang’ pada malam kelmarin dan dia juga difahamkan SMS sama turut dihantar kepada rakan abangnya itu sejak dua minggu lalu.

“Ketika menerima SMS daripada abang malam tadi (kelmarin), saya tidak membalasnya kerana menganggap abang bergurau.

“Lebih-lebih lagi, saya dan abang sememangnya selalu bergurau dan kadang kala bergaduh manja apabila bertemu di rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Asnah Embong, 44, berkata, arwah anaknya itu sering tidur di rumah ibu saudaranya di Kampung Bukit Berangan kerana hubungan Fazrol dengan ibu saudaranya sekeluarga sangat rapat.

“Dia memang biasa tidur di rumah emak saudaranya dan sehari sebelum kejadian, dia maklumkan akan tidur di sana dan saya tiada halangan.

“Namun, pagi tadi saya dikejutkan dengan berita kemalangan dan kini anak saya sudah tiada,” katanya yang bertugas sebagai pembantu Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Jenazah dituntut ahli keluarga dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bukit Berangan, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

Menurutnya, penunggang motosikal terbabit dari arah Maras ke Tepoh, dipercayai memotong di garisan berkembar di hadapan SK Bukit Nenas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta.

“Mangsa mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya - Sinar

0 comments:

Post a Comment

Penulis tidak akan bertanggungjawab keatas komen yang menyalahi undang-undang.Ada komen,anda tanggung!Sebarang pertanyaan atau maklumat bolehlah menghubungi penulis di braderjai@gmail.com

RANDOM